SHAH ALAM 30 MAC : Pakatan Rakyat tidak gentar dengan 'keangkuhan' Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa UMNO BN akan merampas kembali sembilan kerusi DUN dan menawan semula Selangor pada pilihanraya umum akan datang, kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nadzmi Nik Ahmad.
"Tidak ada masalah dengan komen TPM tersebut kerana ini negara demokrasi, tak kiralah dia nak kenalpasti 9 ke 10 ke 15 itu terpulang kepada dia tapi saya rasa dalam kenyataan TPM juga beliau akui bukan mudah BN untuk ambil alih Selangor dan itu satu pengiktirafan kepada kerajaan negeri."
Nik Nazmi berkata Pakatan Rakyat berjaya menawan Selangor pada PRU lalu kerana rakyat muak dengan pimpinan rasuah Umno-BN namun sehingga sekarang parti itu tidak menunjukkan tanda-tanda yang menzahirkan ia telah berubah.
"Walaubagaimanapun kita maklum bahawa Selangor ini lubuk emas BN dan mereka akan menggunakan segala daya upaya mereka, pelbagai cara untuk memastikan mereka dapat merampas kembali Selangor," kata Nik Nadzmi yang juga ADUN Seri Setia.
Sementara itu, ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berharap UMNO BN tidak akan cuba membeli wakil rakyat di sembilan kerusi yang dimaksudkan itu dalam cubaan terdesak untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Amalan itu, menurut beliau, hanya akan merendahkan lagi kreadibilit Umno.
"Bilangan kerusi yang akan ditawan oleh UMNO-BN itu tidak penting, Apa yang penting ialah sanggupkah Muhyiddin dan Umno bersaing dengan Pakatan Rakyat atas asas yang adil iaitu mereka tidak akan menyalahgunakan jentera kerajaan dalam PRU akan datang." tanya Lau.
Sebelum ini, UMNO BN menawan semula Perak setelah didakwa 'membeli' 3 orang ADUN Pakatan Rakyat iaitu Adun Behrang, Jamaluddin Md Radzi, Adun Changkat Jering, Osman Jailu dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong.
Dalam pada itu, ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali yakin pengurusan yang telus dan memihak kepada rakyat yang dibawa oleh kerajaan negeri sekarang semakin disedari rakyat.
Beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berbanding kerajaan negeri Umno-BN pimpinan Khir Toyo.
"Tapi apa yang kita lihat dari segi respon dan kajian yang kita buat kepada rakyat negeri Selangor, insyaAllah rakyat masih lagi bersama Pakatan Rakyat dan juga rata-ratanya mereka menerima dengan baik dan berbesar hati dengan segala program dan aktiviti serta perancangan yang telah pun dijalankan oleh Pakatan Rakyat,' kata beiau
Halimah berkata, pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan negeri disenangi rakyat terutama program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
"Menerusi Program Merakyat Ekonomi Selangor (MES), segala peruntukkan kerajaan negeri berpaksi kepada keperluan dan kepentingan rakyat itu sendiri. Justeru kita tidak rasa gundah dengan apa yang telah disebutkan oleh Muhyiddin,' tambah beliau.
MES merangkumi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC), Bekalan Air Percuma 20 meterpadu, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang dan Program Peningkatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.
Semalam Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata, BN telah mengenalpasti sembilan kerusi DUN di Selangor yang berpotensi untuk dirampas kembali pada pilihan raya Umum ke-13 bagi membolehkan BN kembali menerajui negeri itu.