SHAH ALAM 8 SEPTEMBER : Polis menubuhkan pasukan khas
untuk menyiasat insiden rompakan di sebuah restoran India Muslim di
Seksyen 15, di sini pada 28 Ogos lalu yang turut disiarkan dalam
beberapa laman web dengan entri bertajuk ‘Shah Alam bukan lagi tempat
selamat’.
Beberapa saksi kejadian juga sudah dipanggil bagi
membantu siasatan dan polis masih berusaha mengesan suspek berdasarkan
rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten
Komisioner Zahedi Ayob, berkata orang ramai diminta jangan panik selain
tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian terbabit.
“Polis akan berusaha mengesan kumpulan yang
bertanggungjawab dan pihak kami tidak boleh dedahkan berapa ramai saksi
yang dipanggil atau sama ada semua suspek sudah dikenal pasti atau tidak
kerana ia akan mengganggu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini,
semalam.
Beberapa laman web menyiarkan video kejadian rompakan di
sebuah kedai mamak di Seksyen 15, di sini pada jam 4 pagi, 28 Ogos lalu.
Rakaman CCTV dari pelbagai sudut itu memaparkan lima lelaki yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang menceroboh sebuah restoran dan melarikan mesin wang dan komputer riba milik pelanggan restoran berkenaan.
Ketika kejadian, suspek turut dilihat mengacukan parang terhadap kira-kira 10 pelanggan, termasuk kanak-kanak yang berada dalam restoran itu sehingga menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Ditanya mengenai dakwaan yang disiarkan di laman web itu yang mengatakan Shah Alam bukan lagi tempat selamat, Zahedi berkata, ia keterlaluan kerana indeks jenayah di bandar raya berkenaan masih terkawal.
“Janganlah timbulkan suasana tidak elok dengan mengatakan Shah Alam tidak selamat oleh kerana satu kejadian saja.
“Lagi pun yang kena rompak hanyalah sebuah restoran saja bukannya banyak restoran dan kejadian ini bukannya berlaku tiap-tiap hari,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.