Monday, October 10, 2011

Pandangan Ilmuan Islam Berkenaan Bajet 2012


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.

Kami sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair dengan ini sukacita untuk berkongsi sedikit respon kami terhadap bajet 2012 yang baru dibentangkan Jumaat.

Dengan status sebahagian besar kami yang kerap diajukan soalan berkaitan kehidupan dari pelbagai aspek khususnya dalam bab agama, kami merasa tanggungjawab untuk menyumbang idea dan ilmu, justeru kami duduk mengadakan pertemuan di antara ilmuan dan beberapa pendakwah yang berkesempatan bagi membincangkan BAJET 2012 walau mengakui kami tidak mempunyai angka-angka lengkap dan terperinci berkait pembangunan ekonomi Negara. Pun begitu, itu tidaklah menghalang kami dari memberikan respon dari angka-angka dan cadangan yang termaktub di dalam buku bajet 2012.

Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus.Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan sektor.

Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus.Perlu difahami unjuran hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9 billion.

Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion bagi hujung tahun ini.

Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله
Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Juga sabda baginda:-
اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف
Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : ” Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan di antara beberapa peserta pertemuan ilmuan Islam dan pendakwah terlibatdalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.


Secara ringkas dan mudah dan berdasarkan kemampuan kami yang sederhana, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-

A) Sokongan sepenuhnya
Kami memberikan sokongan sepenuhnyaterhadap item-item berikut:-
  1. Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang terpilih.
  2.  Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna’, murabahah, ijarah.
  3. Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
  4. Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada, sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
  5. Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
  6. Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
  7. Pertukaran gaji kepada sistemsatu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadarRM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pad akadar 7-13 peratus.
  8. Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
  9. Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
  10. Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
  11. Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swastaakan mendapat potongan cukai.
  12. Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui danabernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
  13. Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
  14. Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
  15. Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
  16. Naik pencen 2 peratus setahun.
  17. Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
  18. Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan.
  19. Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
  20. Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaansebagai pesakit luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan Monorel
  21. Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
  22. Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
  23. Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
  24. Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan .