Thursday, March 24, 2011

Chegu Bard Sahkan Video Lucah Rekayasa, RTC Pembohong

KUALA LUMPUR 24 MAC : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia Badrulhisham Shahrin menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa fitnah video lucah yang direkayasa oleh tiga individu bergelar Datuk T.

Bercakap selepas menonton video itu, Badrul yang dikenali atas ketegasannya berhubung isu-isu prinsip, berkata bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik juga berbohong mengenai video itu pada sidang akhbarnya semalam.

Badrul atau lebih dikenali Chegu Bard dipelawa menonton video itu apabila dibawa berjumpa dengan Tan Sri Rahim dan Datuk Shazryl Eskay di sebuah hotel lima bintang pada Isnin lalu.

Beliau menonton video itu dua kali bersama Rahim dan Eskay serta seorang lagi yang tidak dikenali.

“Dari pemerhatian saya video tersebut kemungkinan besar video asal yang tidak diganggu imejnya pun. Namun pelakon dalam filem tersebut bukan Anwar. Memang sekali imbas kelihatan seperti Anwar tetapi bagi sesiapa yang rapat dan biasa melihat 'perwatakan' atau gerak geri Anwar pasti tahu itu bukan Anwar,” kata Badrul.

Badrul menegaskan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak harus tampil memberi penjelasan kerana nyata “ini permainan politik kotor kea rah menyelamatkan Umno menjelang pilihanraya yang semakin hampir.”

Badrul dilihat antara pemimpin muda yang berwibawa walaupun tidak sehaluan dalam beberapa isu dengan kepimpinan PKR.

Pada sidang akhbarnya petang tadi, Badrul turut mendedahkan bahawa Rahim memberikan kenyataan berbeza-beza dalam tempoh 24 jam lalu.

Pada sidang media semalam, Rahim menjual dirinya sebagai terlibat secara langsung dalam video itu. Namun , beliau memberitahu Badrul sehari sebelum itu beliau belum melihat rakaman berkenaan kerana baru pulang dari luar negara.

“Kami dimaklumkan bahawa Tan Sri Rahim Thamby Chik baru menonton video tersebut dan ini berbeza sekali dengan kenyataan beliau pada 23hb Mac 2010 sebagai orang yang sama-sama terlibat dengan (Eskay). Ketika menonton bersama, Tan Sri Rahim seolah beberapa kali terkejut dan beristigfar seolah inilah kali pertama menontonnya,” kata Badrul.

Beliau kemudian diminta untuk membawa salinan video berkenaan untuk ditunjukkan kepada isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail supaya Presiden PKR itu dan Anwar berundur dari politik.

“Saya telah diminta memberi keputusan untuk bersetuju atau tidak menjadi orang yang akan membawa video itu untuk ditunjukkan kepada Wan Azizah,” kata Badrul,

“ Walaubagaimanapun ianya terbantut setelah (Eskay) meminta untuk menayangkan video itu sendiri kepada Wan Azizah,” jelas beliau.

Badrul berkata dakwaan Rahim Thamby Chik kononnya Datuk T merujuk kepada beliau sendiri, Eskay dan Bendahari Perkara Shuaib Lazim mencurigakan.

Dalam pertemuan tersebut (di Hotel Shangri-La) Datuk Eskay memperkenalkan diri sebagai Datuk T. Tan Sri Rahim pun memanggil beliau sebagai Datuk T juga kecuali dua kali terlepas dengan menyebut memanggil Datuk T sebagai Eskay.

Badrul percaya selain ketiga-tiga individu yang menggelar diri Datuk T, video lucah yang direkayasa itu sebenarnya membabitkan lebih ramai orang dan “mendapat lindungan istimewa kerana modus operandi ketika membawa saya ke hotel tersebut seperti babak filem James Bond.”

Beliau juga berkata nama penyewa bilik tempat menonton dan daftar kenderaan yang digunakan menjemput beliau dan rakannya mungkin dapat mengundang fakta lebih menarik lagi. Badrul bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Beliau turut mendedahkan Eskay, Rahim, Datuk Aliasak dan Datuk Yusuf Nor pernah digambarkan bersama melawat sebuah kilang di selatan Thailand pada tahun lalu.

“Adakah mereka yang terlibat dalam kes ini juga mempunyai kepentingan dalam pembekalan baja ke Risda dari selatan Thailand,” tanya Badrul. Rahim adalah Pengerusi Risda yang dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak pada Jun tahun lalu.

“Politik kotor dan jijik seperti ini harus dikecam oleh rakyat Malaysia. Rakyat sebenarnya sudah bosan dengan politik 'selak kain' yang langsung tidak mendidik. Isu polisi, kebajikan rakyat tidak diperdebat tetapi sebaliknya 'isu selak kain' dibincangkan secara sensasi, kesian rakyat yang terhimpit dengan kenaikan harga dan kos hidup yang makin meningkat.