Wednesday, March 30, 2011

Interlok : NGO Cina India Pertikai Isu 'Pendatang'-TAK BETUL KE?MEMANG BETUL KAN....

SHAH ALAM 30 MAC : Sekumpulan NGO Cina dan India hari ini tampil mempertikai isu pendatang dan ketuanan Melayu dalam novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain.

NGO itu mendakwa novel setebal 426 halaman itu seolah- olah menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang.

"Interlok sepenuhnya menyeru kepada fahaman ketuanan Melayu. Pada pandangan kami, novel ini bukan sahaja tidak sihat (untuk bacaan pelajar) tetapi juga beracun," kata Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Cheng Su Chean.

Cheng mendakwa beliau dan beberapa wakil NGO yang hadir sama mewakili 45 lagi pertubuhan Cina dan India di seluruh negara.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KLSCAH Tang Ah Chai, Presiden Yayasan Tamil K Uthayasoorian, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam dan Presiden Persatuan Pelajar India Malaysia Kishur Goonasaran yang juga anggota Pasukan Bertindak Interlok Nasional (NIAT).

Cheng juga mendakwa novel itu hampir sama dengan program Biro Tata Negara yang didakwa sebagai "pembasuhan minda" dam mempromosikan perkauman dan perpecahan.

"Interlok menyampaikan mesej utama bahawa Cina, India dan kumpulan minoriti sebagai rakyat kelas kedua sebagai tambahan kepada idea pengasingan antara masyarakat asal (Melayu) dan bangsa asing (Cina dan India)," kata Cheng.

Sehubungan itu, NGO tersebut mendesak kerajaan menggugurkan buku tersebut sebagai teks sastera untuk sekolah menengah, bukan dipinda atau ditapis mana-mana bahagian.

"Pendirian kami, kami hormat kebebasan bersuara untuk pengarangnya Abdullah Hussain dan kami tidak menentang buku ini dijual di kedai-kedai," kata Cheng yang juga timbalan ketua wanita bahagian wanita dewan itu.

"Tetapi penyelesaiannya, Interlok tidak patut dijadikan buku teks di sekolah," tegasnya.