Semalam, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shazryl Eskay memberi kenyataan kepada Polis Bukit Aman dan juga menyerahkan jam Omega yang mereka dakwa kepunyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keseluruhan proses melibatkan video lucah yang dikaitkan kepada Anwar itu hanya mengambil masa kira-kira lima jam.
Secara perbandingan, kes video lucah yang dibawa oleh dua daripada tiga “DATUK T” ini amat berat kerana membabitkan Ketua Pembangkang Negara dan seperti kata Rahim Thamby Chik (tentunya secara sinis), orang yang boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Namun, lima jam sahaja… berbanding dengan soal siasatan ke atas Teoh Beng Hock yang berlangsung 10 jam dan tamat kira-kira pukul 3.30 pagi di tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Kes Beng Hock membabitkan peruntukan kira-kira RM2,000. Kita maklum apa yang berlaku kepada Beng Hock susulan soal siasat itu dan masih mencari kebenaran bersabit kematian tragisnya.
Lima jam untuk Rahim dan Eskay …berbanding penahanan semalam yang terpaksa ditempuhi oleh Anwar sendiri pada 16 Julai 2008 di lokap Polis Kuala Lumpur, semata-mata untuk memberi kenyataan kepada polis berhubung pertuduhan liwat untuk kali kedua.
Sekali lagi, tidak perlu dihuraikan apa berlaku kepada botol mineral, tuala dan berus gigi yang ditinggalkan oleh Anwar dalam bilik penjara itu.
Semalam juga, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar tidak menolak kemungkinan pihaknya akan menyiasat kes itu di bawah peruntukan undang-undang selain daripada yang membabitkan penayangan filem lucah.
Pembabitan Tan Sri Rahim Thamby Chik secara langsung mendalangi video lucah sudah pun mencetuskan pelbagai spekulasi yang mengaitkan Umno dan Perdana Menteri Najib Razak kepada siri pusingan fitnah terbaru untuk mengaibkan Anwar.
Terpalit dengan tuduhan merogol gadis bawah umur yang memusnahkan karier politiknya pada tahun 1994, Rahim tidak dapat menyembunyikan dendamnya terhadap Anwar atas detik hitam hidupnya itu.
Hujah bahawa wujud tangan Umno di sebalik video lucah diperkuatkan dengan laporan Najib menemui Rahim, Eskay dan Bendahari Perkasa Shuaib Lazim di Bangunan Parlimen hari Selasa, selepas identiti DatuK T dibongkar oleh Parti Keadilan Rakyat.
Apa pun, polis bukan sahaja harus menjalankan siasatan adil tetapi mesti DILIHAT menjalankan siasatan adil. Jika tidak, maka akan bergemalah teori polis sekali lagi bersekongkol dengan Umno untuk mencantas Anwar.
Tempoh yang agak singkat untuk mengambil keterangan Rahim dan Eskay semalam sudah pun merangsang pelbagai teori, spekulasi dan perbandingan.
Kredibiliti rapuh polis yang sedia ada tidak dibantu dengan keengganan pasukan itu menahan gandingan Datuk T walaupun mereka melakukan jenayah menayangkan filem lucah itu di Hotel Carcosa Seri Negara Isnin lalu, satu kesalahan yang membawa hukuman penjara tiga tahun.
Seseorang yang mengikuti sidang akhbar Rahim dan Eskay Selasa lalu tentu tertanya-tanya sama ada dalam mengambil keterangan, polis telah memperinci beberapa pembohongan jelas oleh dua individu itu kepada pihak media.
Eskay dan Rahim mendakwa wartawan menjadi barisan yang diutamakan yang ditunjukkan video itu supaya ada penilaian bebas dan berkecuali mengenai kesahihan rakaman itu.
Malah menurut mereka, video itu juga tidak akan diserahkan kepada polis (ketika itu) supaya tidak ada tuduhan polis berat sebelah dalam siasatan.
Namun, apa yang jelas adalah gandingan Datuk T turut berusaha keras memancing wakil rakyat PKR dan individu berpengaruh dalam parti itu.
Justeru video lucah fitnah itu ditunjukan kepada Ahl iParlimen Sungei Petani Johari Abdul dan Badrul Hisham Shaharin, seorang pemimpin pelapis PKR yang berwibawa dan berprinsip, sungguhpun kadang kala tidak sehaluan dengan pimpinan tertinggi parti.
Apabila umpan tidak mengena (Johari dan Badrul yakin orang dalam rakaman itu bukan Anwar) maka tiba-tiba DATUK T bersedia bekerjasama dengan polis, malah Rahim memberitahu media “kalau polis nak ambil seluar dalam kami pun, ambillah.”
Nyata polis tidak perlu mengambil seluar dalam Rahim atau Eskay (buat masa ini). Namun polis mempunyai tanggungjawab untuk tidak diheret dalam agenda politik mana-mana pihak dan menjalankan siasatan berwibawa, secara professional dan berkecuali.