KUCHING 16 APRIL : Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli akur kesukaran Pakatan Rakyat menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga pada pilihanraya negeri Sarawak setelah laporan tidak rasmi meletakkan BN akan menang lebih 50 kerusi daripada 71 yang dipertandingkan.
Setakat ini DAP dilaporkan mencatat kemenangan sekurang-kurangnya di 11 daripada 15 kerusi yang ditandingi bersandarkan sokongan kuat pengundi Cina di kawasan bandar seperti Kuching dan Miri.
Namun Parti Keadilan Rakyat gagal meneladani kemenangan besar itu dan setakat ini dilaporkan menang di Krian, Ba'kelalan dan Batu Lintang. PAS pula tewas di kesemua lima kerusi yang ditandingi.
Pada pilihanraya negeri lalu, Pakatan Rakyat menang tujuh kerusi dan pencapaian kali ini adalah jauh lebih baik, sungguhpun harapan untuk menafikan BN majoriti dua pertiga tersasar.
Rafizi berkata PKR tidak mendapat keputusan yang diharapkan di banyak kerusi sungguhpun keputusan rasmi belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya.
"Tidak seperti yang kita jangkakan sebelum ini. Banyak kerusi yang kita ada potensi kita tak dapat. Keputusan rasmi tak banyak lagi tapi dari telefon, sms yang kita dapat dari di bawah, banyak kerusi yang kita kalah," kata beliau kepada TV Selangor.
Justeru, kata beliau, harapan untuk menafikan majoriti dua pertiga BN "agak sukar."
Kita masih menunggu tapi jangkaan kita untuk menafikan 2 per tiga (majoriti) agak sukarlah. Tapi kalau ikut 'trend pengundian dayak saya rasa sukarlah penambahan kerusi dari ini," katanya