Friday, April 15, 2011

Teater Islamphobia, Perjelas Salah Tanggapan - IKRAM

SERI KEMBANGAN 15 APRIL : Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bakal menganjurkan persembahan teater bertajuk ‘Islamophobia: A Non Muslim Point Of View’.

Penolong Setiausaha Agong IKRAM, Mohd Yaakub Idris berkata, persembahan teater ini merupakan satu kritikan sosial agar ummat Islam mempertingkatkan usaha mereka membetulkan salah tanggapan bukan Islam dan seterusnya mengurangkan atau menghapuskan Islamofobia.

Teater yang bakal dipentaskan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac), ditaja oleh Hidayah Centre dan Pertubuhan IKRAM Malaysia.

“Teater ini dipersembahkan dengan hasrat agar orang Islam mendapat pedoman bagaimana menghapuskan prasangka orang bukan Islam terhadap Islam dan seterusnya mengurangkan sikap Islamofobia,” katanya.

Beliau menambah, persembahan teater ini juga sesuai untuk bukan Islam, malah ia sekaligus dapat merungkaikan beberapa salah tanggapan terhadap Islam.

“Ia juga sangat sesuai untuk masyarakat bukan Islam Malaysia kerana ia akan merungkai beberapa tanggapan salah mereka terhadap Islam sebagai contoh masuk Islam adalah masuk Melayu, masuk Islam akan memutuskan perhubungan antara anak dan ibu bapa, masuk Islam perlu menukar nama Islam dan sebagainya,” katanya.

Teater yang bakal dipentaskan oleh Serious Comedy Studio dan skrip asal ditulis oleh Santhira Morgan, diselia dan diteliti oleh Dr. Osman Chua, dari Kulliyah Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa untuk memastikan kandungannya tidak terpesong dari ajaran Islam.

Bagi ini pengarah dan penerbit teater ini, Santhira Morgan, idea untuk mementaskan teater Islamophobia ini merupakan hasil pemerhatian yang selama ini dibuat lebih-lebih lagi seperti yang berlaku di barat.

“Islamophobia merupakan isu yang hangat diperkatakan kini dan anda boleh lihat dimana sahaja masa kini. Masyarakat di barat juga terlalu Islamophobia,” katanya.

Pementasan teater ini bakal bermula pada 20,21 dan 22 April 2011 pada jam 8.30 malam.

Sementara pada 23 dan 24 April 2011 pula, pementasan akan berlangsung pada 11.30 pagi, 3.00 petang dan 8.30 malam.

Harga tiket yang dijual adalah RM 30.00 untuk pelajar dan orang kurang upaya sementara RM 50.00 untuk dewasa.

Sebarang keterangan lanjut, sila hubungi En. Zun Arif Hakim di talian 017 – 366 7126.

Apa yang menarik tiket percuma diberikan kepada pengunjung yang membawa rakan bukan Islam pada persembahan bertarikh 23 April 2011, jam 8.30 malam.