Putrajaya telah mengarahkan kesemua syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) termasuk Malaysia Airlines (MAS) dan Danaharta agar menarik balik kesemua kes saman ke atas Tan Sri Tajuddin Ramli yang merupakan bekas pengerusi penerbangan nasional itu dan ‘orang kepercayaan’ Daim Zainuddin.
Difahamkan surat yang dihantar kepada kesemua GLC dan Danaharta oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, entiti-entiti terbabit telah dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan kesemua kes saman ke atas Tajuddin — salah seorang daripada beberapa pihak yang mendapat perhatian dalam pelan melahirkan usahawan-usahawan Bumiputera ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
“Dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan kesemua tuntutan awam ke atas Tan Sri Dato Tajuddin Ramli dan beberapa yang lain dengan menarik balik dengan segera atas pandangan bahawa kerajaan dan Kementerian Kewangan telah bersetuju agar kes-kes yang ada akan diselesaikan di luar mahkmah,” kata surat itu.
“Untuk makluman anda, kerajaan telah memberikan saya mandat untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam hal ini,” kata Nazri dalam surat itu.
Bagaimanapun menteri itu tidak menyebut rujukan penyelesaian dengan Tajudin dalam surat itu.Daim merupakan bekas menteri kewangan dan bekas bendahari Umno ketika era kepimpinan Dr Mahathir.
Sekumpulan personaliti seperti Tajuddin dan Tan Sri Halim Saad merupakan antara mereka yang mendapat perhatian dalam dunia perniagaan pada 1990-an dan memperoleh banyak projek kerajaan khususnya yang dilaksanakan menerusi dasar penswastaan dan pensyarikatan dibawa Dr Mahathir.
Macamana pula kes ini boleh ditarik balik sedangkan sudah lama kes ini disiasat? Tak salah kalau kami katakan, ada “tangan ghaib” di sini.Senang-senang sahaja kes “hilang” duit setengah bilion, hanya ambil keputusan tarik balik saman dan selesai di luar mahkamah.