Monday, February 7, 2011

Hubungan Baik Dengan Pihak Berkuasa Mesir, Arab Saudi Lancarkan Operasi MAS

SEPANG, 7 Feb (Bernama) -- Hubungan baik yang terjalin antara Malaysia Airlines (MAS) dengan pihak berkuasa Mesir dan Arab Saudi telah membantu memudahkan proses mendapatkan kebenaran berlepas dan mendarat di lapangan terbang di kedua-dua negara itu untuk misi memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Datuk Seri Tengku Azmil Zahruddin berkata operasi itu berjalan lancar selepas MAS mendapat kebenaran berlepas dan mendarat dari kedua-dua negara itu.

"Ini berjaya dilakukan kerana hasil hubungan baik yang terjalin antara petugas MAS dengan kedua-dua negara sejak bertahun-tahun.

"Syarikat penerbangan kami kukuh di Jeddah yang telah memberi perkhidmatan lebih 30 tahun di Kaherah, kami juga mempunyai hubungan baik dengan EgyptAir," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Katanya sehingga pagi tadi MAS telah membawa 2,160 rakyat Malaysia keluar dari Kaherah.

Secara keseluruhannya syarikat penerbangan itu telah menyediakan enam pesawat bantuan untuk memudahkan proses pemindahan.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Azmil berkata beliau amat berpuas hati dengan hasil kerja semua anggota pasukan MAS semasa operasi itu.

"Menakjubkan. Kebanyakan anggota kami telah bekerja bersungguh-sungguh. Saya sangat gembira kerana kami berjaya membantu rakyat Malaysia (di Mesir)," katanya.