SUBANG JAYA – Sebanyak 13 daripada 19 projek terbengkalai merangkumi perumahan dan pusat komersial di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah dipulihkan dan dimulakan kerja semula.
Difahamkan, empat daripadanya sudah siap sepenuhnya dan memperoleh sijil layak menduduki (CF) daripada MPSJ.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikshan berkata, statistik yang dikumpulkan sejak tiga tahun lalu merekodkan terdapat 19 projek bermasalah dan terbengkalai di kawasan MPSJ.
Menurutnya, sebahagian besar sudah dimulakan kerja semula manakala yang selebihnya menunggu masa untuk siap sebelum CF dapat dikeluarkan.
Beliau berkata, enam lagi projek terbengkalai pula masih melalui beberapa proses sebelum kerja dapat dijadualkan bermula semula.
“Tiga daripadanya kini dalam proses untuk memulakan kerja di tapak manakala dua lagi diambil alih oleh pemaju baru.
“Proses mungkin mengambil masa yang lama kerana ada projek sudah terbengkalai bertahun-tahun termasuk yang lebih 10 tahun,” katanya.
Adnan berkata, kini tinggal satu lagi projek yang masih terumbang-ambing kerana belum ada pemaju yang boleh membangunkan kawasan itu.
“Di kawasan Subang Jaya sahaja ada tiga projek termasuk projek perumahan dan komersil di USJ 1, pembangunan 600 unit kondominium di Subang Permai USJ 1 dan pusat perniagaan di USJ 21.
“Manakala tiga lagi adalah projek 10 unit kedai di Taman Lestari Perdana, pembinaan tiga blok apartmen di Puchong Intan dan yang terakhir cadangan pusat beli-belah di Seksyen 5, Taman Bukit Serdang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap dengan perkembangan itu masalah projek terbengkalai dapat dikurangkan dan diselesaikan.
“Perkara ini dibangkitkan baru-baru ini apabila ada penduduk yang menyuarakan kebimbangan mereka kerana ada projek yang masih tidak mendapat CF.
“Apa pun, mereka harus mengetahui, majlis perlu menunggu surat sokongan daripada semua agensi berkenaan sebelum CF dapat dikeluarkan,” katanya.