Monday, July 25, 2011

Besarnya Nikmat Islam,Bersin pun ada hikmat dan nikmat

Oleh Ibrahim Abdullah

ANAS bin Malik RA bercerita, ada
dua orang bersin dekat Nabi Muhammad SAW. Baginda mendoakan (tasymit)
seorang daripada keduanya, namun tidak mendoakan seorang yang lain.
Ditanya alasannya, Rasulullah menjawab: “Sebab yang seorang mengucapkan
‘alhamdulillah’, sedangkan yang seorang lagi tidak membacanya.” (Hadis
riwayat Bukhari).
Jadi orang bersin dan tidak membaca
alhamdulillah tidak layak didoakan kerana tidak bersyukur nikmat yang
Allah SWT kurniakan. Pada hal bersin termasuk antara nikmat daripada
Allah yang manfaatnya sangat besar dan mustajab.

Menurut Ibnu Qaiyyim, bersin dapat mengeluarkan wap dari
dalam otak yang jika dibiarkan (tidak dimanfaatkan) akan berbahaya.
(Kitab Zadul Ma’ad). Bersin adalah mekanisme pertahanan tubuh untuk
mencegah masuknya zat luar ke dalam tubuh. Ketika bersin, udara kotor
keluar dengan keras melalui hidung dan mulut berkecepatan sekitar 161
kilometer/jam. Dr Michael Roizen, pegawai kesihatan Cleveland Clinics
menegaskan, bersin kegiatan positif kerana berfungsi membersihkan
faring (rongga antara hidung, mulut, dan tenggorakan). Dalam Syarh
Riyadhus Salihin, mengutarakan bagaimana bersin dapat menggiatkan otak
dan meringankan tubuh.

Untuk itulah, setelah bersin, dengan membaca hamdalah, sebagai bukti
bersyukur kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika
seorang di antara kamu bersin, ucapkanlah ‘alhamdulillah’ (segala puji
bagi Allah). Di samping itu orang yang mendengarnya mendoakan dengan
ucapan ‘yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu), orang yang bersin
tadi membaca doa ‘yahdikumullahu wa yusilhu balakum’ (semoga Allah
memberikan hidayah dan memperbaiki keadaanmu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Bacaan hamdalah adalah doa paling utama. Imam al-Sindi menyatakan,
hamdalah mengandungi pengertian dua jenis (fungsi) doa, iaitu
menyanjung dan mengingat Allah SWT (zikir), serta mengajukan permohonan
agar nikmat ditambah.

Dengan berzikir saja, Allah menjamin akan memperbaiki lebih daripada
diminta. Firman-Nya dalam hadis Qusi bermaksud : “Siapa yang lebih
sibuk megingati-Ku (berzikir) daripada meminta sesuatu kepada-Ku, ia
akan Aku berikan sesuatu melebihi orang yang memohon.”

Lain bersin, lain pula menguap (tatha’ub) bererti layu dan malas.
Menguap terjadi kerana minimumnya oksigen dalam tubuh. Biasanya, orang
menguap apabila tubuh lelah, malas, bosan, atau mengantuk. Nabi SAW
bersabda bermaksud: “Menguap itu daripada syaitan. Oleh itu jika
menguap, tahanlah sedapat mungkin. Sebab jika orang menguap hingga
terucap ‘ha’ , syaitan tertawa menyaksikannya.” (Hadis riwayat
Bukhari).

Sesetengah orang apabila menguap, ia tidak menutupi mulutnya, syaitan
amat menyukai yang demikian, di samping itu juga virus akan keluar
dari mulut seseorang yang boleh menyebarkan penyakit.

Syaitan tertawa gembira dengan tabiat demikian, kerana menyukai
kemalasan dan kedunguan, sedangkan agama sangat anti dengan kemalasan
dan menganjurkan umatnya untuk giat bekerja dan beramal. Nabi SAW pun
selalu berlindung daripada sifat kemalasan dan unsur yang negatif.

Sunnahnya orang bersin merendahkan suaranya. Faedahnya ialah ketika
orang bersin kebanyakannya membuat suara tinggi yang boleh mengganggu,
maka disunnahkan baginya untuk merendahkan suaranya dengan meletakkan
tangannya atau pakaiannya ke wajahnya.

Abu Hanifah meriwayatkan: “Bahawa Nabi SAW apabila bersin Baginda
menutup wajahnya dengan tangan atau pakaiannya dan dengan demikian
Baginda merendahkan suaranya.” Abu Hurairah berkata: “Doakan saudaramu
yang bersin sebanyak tiga kali, kalau lebih daripada tiga maka dia
sedang flu (selesema).”

Dalam hadis yang disebutkan Abu Musa al-Asya’ari pula, berkata:
“Seorang Yahudi bersin di sisi Rasulullah, dia berharap agar Nabi
mengucapkan untuknya yarhamukallah, namun yang Nabi ucapkan adalah:
‘yahdikumullah wa yuslihu balakum.’”

Berdasarkan hadis ini boleh mendoakan ahlu zimmah, apabila mereka
bertahmid setelah bersin, dengan doa hidayah dan taufik kepada
keimanan, dan tidak mendoakan mereka dengan rahmat.

dan maghfirah, kerana mereka tidak sesuai untuk doa itu, manakala
orang yang bersin di dalam solat boleh bertahmid kepada Allah, namun
tidak boleh bagi orang yang mendengarnya mendoakannya dengan
mengucapkan yarhakumullah.

Adalah perkara yang diperintahkan dan disunnahkan, dan termasuk
perkara kesempurnaan agama dengan mensyariatkan kepada mereka doa yang
mereka ucapkan setelah bersin, yang mana ia adalah nikmat Allah atas
mereka. Maka dengan bersin itu mereka saling mendoakan rahmat dan
memohon kepada Allah hidayah dan baik keadaannya.

Dari al-Barra’ bin ‘Azib, dia berkata: “Nabi memerintahkan kepada
kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara, maka
Baginda menyebutkan, menjenguk orang sakit, mengikuti jenazah,
mendoakan orang bersin, membalas salam, menolong orang yang dizalimi,
memenuhi jemputan, dan memperhatikan keinginan orang yang bersumpah.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim).