Saturday, September 10, 2011

Cuba Fikir2kan

Parti Komunis Malaya (PKM) menjunjung cita-cita Komunis Antarabangsa (Comintern) serta sedia bernaung di bawah panji Komunis Rusia untuk mewujudkan jaringan negara-negara komunis dengan mendokong fahaman Marxism yang menolak semua unsur agama dan ketuhanan.

Sekiranya PKM berjaya menghalau British keluar dari Malaya sekalipun, kebebasan mengamalkan ibadah di kalangan Muslim akan tergadai tanpa sebarang kompromi daripada pemerintahan penganut komunism. Jika komunis berjaya menjadi wira kemerdekaan sekalipun sebagaimana diucapkan oleh seorang politikus tempatan beragama Islam masa kini, Islam akan terkulai dilupuskan komunis di Malaya ini pada ketika itu. Umat Islam di Malaya akan terhimpit sebagaimana umat Islam di Kazaksthan, Afghanistan dan lain-lain wilayah kecil pada ketika kekuasaan Soviet Union. Umat Islam di Malaya akan senasib terhimpit seperti wilayah-wilayah Muslim di Kesatuan Soviet.

Sumber: http://www.facebook.com/PendedahanKonspirasi

Andai PKM berjaya 'memerdekakan' Malaya daripada British pada ketika itu sekalipun, Malaya tetap tidak akan merdeka kerana tertakluk kepada manifesto Comintern dalam hal ehwal pengkerajaanan komunis antarabangsa. Umat Islam akan terus terjajah di bawah kekuasan komunis walaupun ada Abdullah CD dan Suriani di dalam PKM. Namun, sejauh mana jaminan suara Abdullah CD dan Suriani akan didengari oleh PKM yang tegar Marxism Atheis? Tiada jaminan bermaksud tiada kepastian, tiada kepastian pula bermaksud wujud unsur was-was, apa pesanan nabi kepada kita mengenai setiap perkara yang wujud was-was dan syubahah? Nabi suruh kita teruskan dengan was-was atau nabi suruh kita tinggalkan perkara was-was?

PKM terus membuat kacau meskipun Malaya sudah merdeka. Berterusan membuat kacau sehingga tahun 1989. Andai Malaya sudah merdeka, apa lagi mahu membuat kacau sehingga 1989? Hasrat mereka untuk memerdekakan Malaya, betulkah? Tetapi, Malaya sudah merdeka pada 1957 dan mengapa mesti membuat kacau sehingga 1989? Ini persoalan di kalangan orang awam. Persoalan yang biasa didengar.

PKM mempertikai cara Malaya dimerdekakan melalui rundingan yang dibuat oleh sebuah gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan British dan akhirnya Malaya menjadi Persekutuan pada 1948. Sejak itu, PKM semakin menggila kerana tidak puas hati kerana Persekutuan Tanah Melayu telah meranapkan cita-cita mewujudkan sebuah republik komunis di rantau Asia Tenggara, PKM menembak mati semua termasuk orang Islam yang mereka syak sebagai pro-Jepun dan pro-Inggeris semasa Perang Dunia Kedua sehingga memaksa negara memasuki era Darurat. PKM mendakwa kemerdekaan Malaya pada 1957 secara rundingan dengan British adalah bukan kemerdekaan mutlak kerana Malaya akan menjadi boneka British.

Tetapi, bagaimana pula sekiranya PKM berjaya menghalau British dan kemudian bernaung pula di bawah Komunis Rusia? Bukankah tidak ubah seperti keluar dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya? Islam sudah tentu akan dibaham rakus oleh sang buaya komunis, tiada lagi surau dan masjid, tiada lagi istilah agama dalam hidup, masyarakat hidup tanpa agama, tanpa amalan hidup beragama dan Melayu yang tinggal pula tiada lagi panduan daripada al-Quran kerana sebarang jenis agama akan dilarang sama sekali oleh komunis. Kemerdekaan melalui komunis kah yang lebih baik? Malangnya, ada juga orang Islam yang mengangguk apabila komunis diangkat sebagai wira.

Walau dalam keadaan apa sekalipun, setiap keputusan termasuklah keputusan untuk memilih cara memerdekakan negara, biarlah keputusan itu tidak menggadai agama yang kita pilih iaitu Islam. Setiap pilihan yang ada akan selalu ada sisi yang lemah dan juga sisi yang sedikit kuat walaupun pilihan itu tidak benar-benar kuat. Islam perlu diletakkan di atas, andai ada pilihan yang tidak menyisihkan Islam, maka kita sudah memasuki keadaan darurat dan perlu memilih jalan mana yang lebih baik daripada yang sekian buruk. Malah dalam keadaan darurat, sesetengah perkara diharuskan.

British meninggalkan negara ini dalam keadaan miskin dan daif serta diselubungi pelbagai masalah selepas hampir semua sumber kekayaan dibawa keluar untuk keuntungan British. Kisah pahit ini juga tidak wajar kita lupakan.

Kemerdekaan melalui rundingan dengan British bagaimanapun tidak merampas Islam daripada kita. Allah masih tidak merampas hidayah-Nya daripada umat Melayu dalam urusan Melayu memerdekakan tanah air mereka. Walaupun British meninggalkan Malaya selepas membenihkan proksi-proksi dalam persekitaran politik Malaya, Islam bagaimanapun tidak terusik dan umat Islam masih berada di bawah subjek raja-raja Melayu.

Namun andai komunis berjaya menghalau British sekalipun, komunis belum menjanjikan kedaulatan agama Islam kepada umat Islam di Malaya dan paling pasti ialah komunis berpegang teguh kepada penolakan terhadap sebarang agama.

Berfikir sekali lagi, cara kemerdekaan yang mana satu kah yang lebih baik kepada nasib umat Islam di Malaya ketika itu.. kemerdekaan melalui rundingan atau melalui komunis? Mana satu lebih baik walaupun ia dikatakan tidak benar-benar terbaik.

Kita bukan mahu mengagungkan British, saya sendiri tidak suka kepada penjajahan British dan apa bentuk penjajahan sekalipun. Tetapi, kita perlu belajar daripada sejarah kerana sejarah ialah fakta dan jika diterbalikkan fakta dalam apa bentuk 'goncangan' sekalipun, ia tetap tidak akan mampu mengubah fakta.

Fakta tidak akan berubah, tetapi awas kepada bahaya di mana kewarasan akan sentiasa dapat diterbalikkan apabila audiens mula gagal memperhalusi fakta dan gagal melihat keterangan yang bersambung-sambung dan tidak terputus-putus.

Sebagai umat Islam yang waras akalnya, seseorang Muslim itu akan menolak apa sahaja bentuk fahaman yang menidakkan agamanya. Jika atheism menolak faktor kepercayaan kepada tuhan, maka Muslim yang waras akan terus menolaknya tanpa kompromi. Andai pula komunis itu dikatakan lebih manis daripada atheism kerana mencakupi kesaksamaan ekonomi (kononnya), ia juga akan ditolak oleh Muslim yang waras kerana komunism menganut atheism.

--

Islam secara akidahnya tidak berkompromi dengan sebarang unsur yang menolak Allah sebagai Maha Esa, Maha Pencipta, Maha Agung dan Maha Segala-galanya Yang Sempurna. Begitu juga dalam hal kalimah Allah yang disekutukan di gereja-gereja Nasrani.

Allah tidak mengizinkan nama-Nya disekutukan dalam apa jua keadaan sekalipun. Andai ada manusia Muslim yang meredhakan atau mengizinkan atau membenarkan nama-Nya disekutukan oleh penganut agama lain, bagaimana pula hukumnya yang akan dijatuhkan kepada Muslim itu kerana Allah tidak sekali-kali mengizinkan nama-Nya disekutukan dalam apa jua keadaan sekalipun. Dalam apa jua keadaan sekalipun.

Meng-Esa-kan Allah adalah amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan kepada kita umat Islam. Andai membenarkan nama-Nya disekutukan, ia sama dengan maksud pecah amanah. Ingat, "berhentilah daripada berkata tiga (triniti)... berhentilah daripada ucapan itu".

Tidak perlu susah payah mempertahankan pendapat manusia-manusia Muslim (yang menjadi ketua kepada sebilangan Muslim yang lain di negara ini) yang mengizinkan nama Allah disekutukan, hanya perlu tunjukkan satu ayat al-Quran kepada semua iaitu ayat yang mana Allah membenarkan nama-Nya disekutukan oleh kaum kafir dan ayat yang memerintahkan umat Islam redha nama-Nya disekutukan. Tunjukkan cuma satu ayat yang akan membuatkan semua umat Islam terdiam daripada terus memperkatakan isu kalimah Allah dalam bentuk triniti. Tunjukkan ayat itu andai al-Quran teguh sebagai pegangan.