Harakahdaily |
SHAH ALAM, 16 Feb: Kerajaan negeri Selangor mahu Suruhanjaya Diraja turut memanggil pakar forensik dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sebagai saksi dalam siasatan kes kematian Teoh Beng Hock. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, iaya satu langkah yang wajar dan kerajaan negeri sanggup membiayai semua kos untuk urusan memanggil pakar forensik tersebut. "Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock wajar memanggil balik Dr. Pornthip Rojanasunand sebagai saksi. "Kerajaan negeri sanggup membiayai kos Dr. Pornthip Rojanasunand untuk kembali memberi keterangan dalam penyiasatan Suruhanjaya Diraja," katanya pada sidang media hari ini. Dalam perkembangan lain, keluarga Teoh Beng Hock hari ini memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan melantik timbalan pendakwaraya (DPP) dari pejabat peguam negara sebagai pegawai Suruhanjaya DiRaja itu. Timbalan perndakwa raya berkenaan, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Amarjeet Singh didakwa tidak dapat bertindak secara bebas disebabkan semakan kehakiman itu. Peguam bagi pihak keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang ditemui hari ini mengesahkan perkara itu. Pihaknya juga akan memohon kepada Mahkamah Tinggi agar mengenepikan keputusan suruhanjaya berkenaan bagi meneruskan inkuiri meskipun masih menunggu semakan di mahkamah lain. Suruhanjaya itu juga hari ini menerima tamparan hebat ekoran krediblitinya dipersoal sehingga keluarga mendiang itu menarik diri daripada prosiding. Berikutan itu juga, peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo mengumumkan mereka akan berundur diri daripada terbabit dengan perbicaraan. "Kami tidak mahu ambil bahagian kerana tidak yakin dengannya,” kata Karpal. Teoh yang merupakan pembantu kepada exco kerajaan Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas disoalsiasat semalaman di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan tersebut. Suruhanjaya ini dijangka menyelesaikan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya pada 25 April. |