Tempat perniagaan cukup strategik. Bahkan di bulan-bulan awal, keuntungan mencatatkan pencapaian yang cukup memberangsangkan. Tetapi apabila masuk ke tahun kedua, secara tiba-tiba pelanggan tidak lagi menjengah ke premis perniagaan seperti lazimnya. Bahkan seakan-akan tidak nampak wujudnya sebuah perniagaan di situ.
Inilah risiko dalam perniagaan. Hari ini kita boleh maju dan membuat keuntungan yang besar. Tetapi untuk hari esok ataupun lusa, kita tidak boleh menjamin sama ada perniagaan akan beroleh keuntungan biarpun mempunyai pelan perniagaan yang kukuh. Selain daripada bergantung kepada keadaan ekonomi semasa, hal ini dikaitkan dengan wujudnya persaingan dalam perniagaan terutama sekali bagi yang menawarkan barangan dan perkhidmatan dalam pasaran persaingan sempurna.
Namun begitu, apabila perniagaan tiba-tiba merundum tanpa sebab yang munasabah setelah dianalisis, kita mula sangsi bagaimana hal demikian boleh berlaku. Apatah lagi apabila timbulnya perkara yang tidak masuk akal di premis perniagaan, menyebabkan kita beralih kepada analisis alternatif. Benar, biarpun dunia dikatakan semakin moden hari ini masih ada segelintir manusia menggunakan ‘jalan belakang' untuk kesenangan yang segera dan menimbulkan musibah kepada orang lain iaitu melalui sihir.
Sihir secara mudah untuk difahami adalah ikatan perjanjian di antara tukang sihir dan syaitan untuk melakukan sesuatu yang dimurkai oleh Allah bagi mencapai matlamat tertentu. Terdapat dua isu utama dalam sihir ini iaitu pertamanya, ialah kerana mensyirikkan Allah dengan yang lain. Keduanya, kerana mendatangkan kemudaratan terhadap orang lain bagi mencapai matlamat tertentu tersebut. Perbuatan meminta pertolongan makhluk lain bagi mancapai tujuan tertentu ini merupakan satu kesalahan yang besar seperti mana firman Allah dalam Surah Jin ayat 6 yang bermaksud, "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia meminta perlindungan kepada lelaki daripada kalangan jin, kerana jin-jin itu menambahkan mereka dosa dan kesalahan".
Dalam situasi perniagaan seperti di atas, sihir boleh berlaku akibat daripada sifat dengki manusia yang melihat kemajuan perniagaan orang lain. Sihir juga boleh berlaku bagi tujuan menarik perhatian pelanggan dengan cara kotor yang mudah. Sihir dalam perniagaan ini merupakan satu perlakuan tidak jujur bukan sahaja kepada pesaing tetapi juga kepada pelanggan. Terjadinya satu proses jual beli yang jujur itu apabila pembeli bersetuju mendapatkan barangan atau perkhidmatan di atas kualiti tertentu dengan harga yang tertentu. Sedangkan sihir memesongkan pandangan ke atas kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan dan memujuk pelanggan untuk membeli ke atas sesuatu yang sebenarnya tidak dihajati dengan kualiti yang tidak sepadan harganya.
Keadaan ini merugikan pertumbuhan dalam pasaran persaingan yang sihat apabila ada perniagaan yang berpotensi tidak lagi dapat meneruskan aktivitinya. Walaupun hanya kepada orang dan perniagaanya yang tertentu sihir itu ditujukan, hakikatnya kesan tersebut turut mengenai masyarakat sekitar. Apabila sesuatu kawasan itu terkenal dengan kepelbagaian pusat perniagaan barangan atau makanan, kewujudan hanya kepada tarikan perniagaan tertentu semata-mata mengurangkan nilai komersial kawasan perniagaan tersebut. Maka kepelbagaian tidak lagi wujud seterusnya pembeli tidak lagi menikmati kegiatan memilih dan menawar dalam melakukan aktiviti jual beli.
Kegiatan jual beli ini sebenarnya adalah hasil daripada keputusan ekonomi seseorang individu. Seorang pembeli misalnya mempunyai beberapa pilihan dalam membuat keputusan bagi mendapatkan barangan dan perkhidmatan dengan sejumlah wang tertentu. Inilah yang dikatakan sebagai kenikmatan membuat pilhan bagi seseorang dalam melakukan aktiviti jual beli. Apabila hilangnya kenikmatan ini, manusia berhadapan dengan keterbatasan dalam membuat keputusan ekonomi. Hal ini juga dikaitkan dengan tabiat manusia yang sedaya upaya memaksimumkan kesejahteraan dan selalunya keputusan ini berlaku apabila dia menyamakan kos marginal dengan faedah marginal iaitu kos tambahan yang dikeluarkan bagi mendapatkan faedah tambahan adalah sama.
Terdapat dua perkara penting dalam isu ini iaitu pertama; tabiat manusia yang inginkan kepelbagaian dalam membuat keputusan ekonomi. Seseorang itu lazimnya membeli gabungan beberapa unit yang berbeza dengan sejumlah wang yang ada. Sekiranya tidak ada lagi kepelbagaian dalam pertimbangan dalam membuat keputusan, maka seakan ‘cacatlah' keputusan itu. Kedua, ialah tabiat manusia itu secara fitrahnya menyedari membeli sesuatu yang memberi manfaat kepadanya dengan kos yang difikirkan setimpal dengan manfaat itu. Sedangkan sihir yang wujud dalam perniagaan memesongkan pandangan manusia daripada mengetahui berkenaan manfaat yang perlu oleh dirinya dan sedaya upaya mengkhususkan padangan manusia kepada sesuatu barang atau perkhidmatan yang tertentu sahaja.
Apabila jenyaah sihir itu berlaku dalam perniagaan, ia bukanlah hanya semata-mata soal perolehan keuntungan tetapi mempengaruhi manusia dalam membuat keputusan ekonomi untuk dirinya. Keadaan ini sedikit sebanyak mencacatkan tabiat manusia itu apabila dia tidak lagi mencapai kepuasan dalam keputusannya tanpa disedari. Apabila baru-baru ini terdapat cadangan untuk mengusulkan satu Akta Kesalahan Jenayah Sihir bagi membendung amalan sihir, kita mengharapkan agar cadangan mewujudkan akta ini dapat menyedarkan masyarakat bahawa kewujudan amalan sihir ini tidak lagi hanya melibatkan soal kasih sayang semata-mata tetapi boleh juga digunakan bagi tujuan perniagaan dan sebagainya. Kita hanya menipu diri sendiri sekiranya menolak kewujudan sihir ini akibat daripada tanggapan bahawa tiada lagi unsur-unsur ghaib di dalam dunia moden hari ini. Biarpun nampak agak mustahil untuk diwujudkan atas pelbagai faktor, cetusan idea ini memberi kita satu gambaran bahawa betapa bahayanya kewujudan amalan sihir hari ini dalam kehidupan masyarakat kita khasnya.