Semua orang mengimpikan mempunyai rumah sendiri, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga. Rumah merupakan perkara asas bagi kehidupan, ia adalah tempat bagi keluarga menjalani kehidupan seharian dan beristirehat.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya ”Daripada Saad r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang baik(solehah), tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik” (Riwayat al-Baihaqi)
Rumah juga adalah di antara lapan hak pengguna yang telah diterima umum. Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan, pendidikan.
Sekarang ini rata-rata ramai yang mengeluh tentang harga rumah yang semakin hari semakin tinggi, mencecah beratus-ratus ribu ringgit. Bagi suami isteri yang bergelar graduan pun masih tidak mampu membeli rumah teres dua tingkat di kawasan bandar. Justeru kerajaan haruslah mengawal harga rumah kerana sekarang ini ia terlalu bergantung kepada pasaran tanpa sebarang peraturan.
Baru-baru ini Skim Rumah Pertamaku telah dilancar oleh Perdana Menteri. Skim itu membenarkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan memiliki rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000.
Skim tersebut memberi kemudahan pinjaman seratus peratus kepada pembeli, tanpa perlu membayar wang deposit sebanyak sepuluh peratus seperti kebiasaan prosedur pembelian rumah.
Skim ini dilaksanakan dengan kerjasama institusi-institusi kewangan. Ia bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup selain harga hartanah yang tinggi.
Harus dilihat sejauh mana Skim Rumah Pertamaku mampu mengatasi masalah perumahan ini. Walaupun kita menghargai usaha dilakukan kerajaan, pada masa yang sama perkara ini harus diteliti dengan lebih lanjut lagi.
Benarkah pinjaman seratus peratus tanpa perlu membayar wang deposit sebanyak sepuluh peratus bakal memberi kemudahan kepada golongan muda yang berpendapatan kurang RM3000.
Tidak dinafikan ia dapat membantu mereka memiliki rumah pertama dengan lebih cepat. Namun harus difikirkan kemungkinan bayaran seratus peratus pinjaman itu akan mengakibatkan kita terpaksa membuat bayaran bulanan yang lebih tinggi. Sanggupkah berbuat demikian selama 30 tahun contohnya, mampukah?
Persoalan ini harus difikirkan. Juga samada pembiayaan seratus peratus tersebut termasuk guaman dan lain-lain caj? Jika tidak termasuk, maka pembeli perlu menyediakan sejumlah wang untuk tujuan tersebut.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di dalam Dewan Rakyat, jumlah unit rumah yang diluluskan pembinaannya oleh pemaju yang dilesenkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam tempoh 2005 hingga bulan Ogos 2010 di Lembah Klang, sebanyak sepuluh peratus projek perumahan kos rendah, sepuluh peratus rumah kos sederhana dan lapan puluh peratus kos tinggi.
Berdasarkan statistik tersebut, jumlah unit rumah kos rendah dan sederhana di kawasan Lembah Klang amat sedikit berbanding dengan unit rumah kos tinggi. Jika begini keadaannya, bagaimana mungkin golongan muda mampu membeli dan memiliki rumah sendiri. Inilah juga kerisauan yang telah diutarakan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia.
Jelas pemaju perumahan ingin mengaut keuntungan dengan membina rumah kos tinggi. Kerajaan sepatutnya memberi syarat yang lebih ketat kepada pemaju perumahan agar membina lebih banyak rumah mampu milik berbanding dengan rumah kos tinggi. Sekadar memberi galakan agar mereka membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana tidak dapat menampung keperluan dan permintaan di pasaran.
Rumah mampu milik yang dibina pemaju pula biarlah yang selesa untuk didiami, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga saja. Ia sepatutnya mempunyai bilik tidur yang cukup, ruang rehat yang selesa, serta kemudahan asas seperti ruang dapur dan tandas. Perkara ini penting agar semua ahli keluarga akan menyukai berada di dalam rumah.
Rumah yang tidak mempunyai cukup bilik tidur akan mendatangkan masalah. Ini kerana bilik tidur anak lelaki perlu diasingkan dari anak perempuan. Maka selalunya kita dapati anak lelaki yang terpaksa tidur di ruang tamu apabila bilik tidak mencukupi.
Ini selalunya membuat anak lelaki memberontak, walaupun dalam diam. Apabila anak lelaki tiada ruangnya sendiri, maka dia akan jarang duduk di rumah. Sebaliknya lebih gemar melepak dengan kawan-kawan membazir waktu dengan sia-sia.
Apabila melepak dengan kawan yang salah, maka dia akan melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Ia akan bermula dengan merokok, dadah, jenayah dan juga zina. Semuanya berpunca dari ketidakselesaan berada di rumah.