Wednesday, May 4, 2011

Mahathir Pula Dakwa M'sia Kecoh Jika Cina Tak Sokong MCA


PUTRAJAYA 4 MEI : Mantan Perdana Menteri dan penaung Perkasa Tun Mahathir Mohamad hari ini mendakwa kestabilan negara akan terjejas jika rakyat tidak menyokong MCA dan parti itu menolak jawatan dalam kerajaan selepas pilihanraya umum akan datang.

Kenyataan itu selari dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA Datuk Chua Soil Lek yang dilihat mengenakan syarat kepada pengundi Cina untuk menyokong parti berkenaan jika mahukan kepentingan kaum itu terus terpelihara.

Mahathir berkata kaum Cina perlu mengekalkan MCA dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan dan kerjasama pelbagai kaum negara ini berterusan.

Jika tidak, “ia akan mencetuskan kebimbangan bagi seluruh negara. Apabila kita membahagikan kita kepada Cina dan Melayu, dan kita bertelagah satu sama lain, maka akan berakhirlah kerjasama dan tidak akan wujud kestabilan dalam negara,” kata Mahathir selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Penulisan Esei MPH-Yayasan Kepimpinan Perdana 2010 di sini hari ini.

MCA ketika ini hanya memegang empat daripada 30 jawatan Kabinet dibawah pimpinan Datuk Seri Najib.

MCA kini menghadapi krisis keyakinan dikalangan pengundi Cina kerana dilihat semakin dibawah telunjuk Umno dan gagal untuk mengekang amalan rausah dan penyelewegan kuasa dalam kerajaan yang menjejaskan persekitaran perniagaan.

Pada pilihanraya umum 2008, parti itu cuma memenangi 15 kerusi Parlimen dan 30 kerusi DUN. Pada pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini, pengundi di bandar, khususnya pengundi Cina menolak Barisan Nasional dengan memberi undi kepada DAP. Parti Pakatan Rakyat itu memenangi 12 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

Bimbang dengan kemerosotan sokongan pengundi, MCA mengugut untuk menolak semua jawatan dalam kerajaan jika tidak diberi sokongan pada PRU yang akan datang.

Tindakan itu dipersoalkan pelbagai pihak yang merujuk kepada kegagalan MCA mempertahankan kepentingan kaum itu walaupun semasa beradaa dalam Kabinet.