Wednesday, May 4, 2011

Selangor Lancar Projek Rumah Mampu Milik Lebih Selesa

SHAH ALAM 4 MEI : Kerajaan negeri Selangor melancarkan program Rumah Mampu Milik yang lebih selesa dengan harga berpatutan untuk warga negeri ini, kata EXCO kerajaan negeri Iskandar Abdul Samad.

Sekurang- kurangnya 30 peratus daripada jumlah rumah berkenaan akan dikhususkan untuk pembeli berumur 35 tahun ke bawah dengan purata pendapatan keluarga antara RM2'500 hingga RM5'000 sebulan.

Rumah mampu milik berkenaan akan mempunyai keluasan 750-850 kaki persegi berbanding rumah kos rendah 600 kaki persegi yang dibina sebelum ini.

Harga untuk unit-unit rumah berkenaan tidak akan lebih daripada RM100,000.

Program rumah mampu milik akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan beberapa pemaju swasta.

"Kita telah menetapkan pendapatan sekitar RM2,500 hingga RM5,000 sebulan dan untuk projek pertama ini kita mahu sekurang- kurangnya 30 peratus dari pembelian rumah- rumah itu ialah dari kalangan mereka yang berumur 35 tahun kebawah," kata Iskandar.

Iskandar berkata projek perintis rumah mampu milik akan dilancarkan di Bandar Baru Bangi oleh Menteri Besar Tan Sri Abd Khalid Ibrahim pada 29 Mei ini.

Beliau berkata sebuah seminar akan diadakan pada 14 Jun untuk memilih reka bentuk sesuai yang dibentangkan oleh beberapa arkitek yang dipertanggungjawabkan dengan projek itu.

"Seminar ini penting untuk pihak kami mendapatkan satu rekabentuk terbaik untuk rakyat. PKNS telah memanggil beberapa syarikat arkitek untuk merumuskan rekabentuk- rekabentuk tersebut," kata Iskandar.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga melancarkan pertandingan bagi memberi nama kepada projek Rumah Mampu Milik ini kepada seluruh warga Selangor. Pemenang peraduan akan menerima hadiah RM3 ribu.